Muhyiddin celupar, gila talak – Ahmad Zahid

Oleh: Hanim Nadia

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin jelas celupar ketika mempertikai tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menghormati kenyataan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang memberi respon mengenai isu berkenaan.

“Saya sangat menghormati kenyataan yang dibuat Tengku Hassanal dan tentunya ia merupakan sesuatu yang harus dilihat sebagai kesan daripada keceluparan membangkitkan isu berkenaan.

“Mungkin orang itu tidak boleh terima hakikat bahawa titah untuk wujudkan Kerajaan Perpaduan adalah dengan niat Tuanku ketika itu, bagi menyatupadukan semua parti gabungan agar tidak lagi berlaku ketidakstabilan dalam politik tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Pidato Piala Datuk Nurul Amal sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 (PAU2024) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Rabu.

Pada Rabu, polis merakam keterangan Muhyiddin berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (raja, agama dan kaum) ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini.

Bekas Perdana Menteri itu dilapor menyebut, Yang di-Pertuan Agong tidak mengundangnya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri walaupun mempunyai sokongan cukup ahli Parlimen.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyifatkan Muhyiddin sebagai gila talak susulan tidak dilantik semula sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.

“Tetapi orang itu melihat dari aspek gila talak kerana tidak mendapat jawatan itu semula.

“Mungkin ianya telah terpacul dari mulutnya ketika (PRK) Neggiri yang dijadikan tapak yang pada hemat saya sangat tidak bertatasusila kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16,” ulasnya.