Oleh: Hanim Nadia
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 membuka tirai dengan pembentangan kejayaan kementerian dan negeri diterajui parti itu menerusi Program PENTalk.
Program anjuran Penerangan UMNO itu juga kesiapsagaan jentera parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman berkata, beliau mahu program tersebut menjadi pentas kepada ahli parti untuk sentiasa cakna dengan apa yang dilaksanakan menteri UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.
“Apa yang kita buat hari ini berbeza dengan tahun lalu. Tahun lalu kita buat dengan ketua bahagian, kali ini kita buka sikit, kita panggil PENTalk dan kita nak tunjuk kejayaan kita.
“Kita perasan dalam akhbar tidak semua menteri mendapat liputan dalam media.
“Kita juga lihat dengan PENTalk, kita mahu ahli peka dengan kebanyakan menteri kita dalam kerajaan MADANI, kerajaan Persekutuan jujur bekerja untuk menyampaikan objektif,” katanya dalam sesi bersama media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Rabu.
Program yang bermula pada pukul 9 pagi sehingga 12 tengah hari itu menjadi platform dan wadah dalam berkongsi kejayaan dan strategi pencerahan terbaik kepada ahli dalam menghadapi PRU16.
Antara tokoh terlibat termasuk Naib Presiden merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Perladangan dan Komiditi yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Turut sama berkongsi pengalaman dan kejayaan Datuk Seri Azalina Othman Said, serta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Majlis diserikan dengan kehadiran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta 500 hadirin.
PAU 2024 akan disusuli dengan taklimat Presiden yang dijadualkan berlangsung pada sebelah petang disusuli dengan perasmian sayap-sayap UMNO.
Persidangan kali ini melibatkan seramai 6,433 perwakilan dari seluruh negara.
Baca juga: