Perkahwinan Diraja, Tengku Puteri Afzan bernikah esok

Oleh: Wahida Ramlan

KUANTAN: Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menitiskan air mata ketika majlis doa selamat sempena istiadat perkahwinan diraja, hari ini.

Sultan Pahang berkenan rasmi Masjid Al-Falah di Perkampungan Sungai Isap 2 serta majlis doa selamat sempena Istiadat Perkahwinan Diraja anakanda Paduka Baginda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan FD Idzham FD Iskandar yang bakal berlangsung esok.

Jelas kelihatan raut wajah baginda yang berasa sebak ketika meminta seluruh rakyat negeri mendoakan agar Istiadat Perkahwinan Diraja anakanda Paduka Baginda dan pasangannya yang akan berlangsung tidak lama lagi berjalan dengan lancar dalam titahnya.

“Semoga majlis yang akan diadakan ini berjalan lancar, penuh keberkatan dan diredhai Allah SWT serta ikatan perkahwinan yang bakal terbina ini akan kekal hingga ke jannah,” titah Paduka Baginda.

Sementara itu, dalam titahnya lagi Paduka Baginda turut mengingatkan agar jangan sesekali membiarkan rumah Allah menjadi tempat untuk mencerca sesama umat, bertelagah mahupun menjadi gelanggang politik.

“Saya juga ingin mengingatkan umat Islam khususnya di negeri ini agar sentiasa memperdalam ilmu agama yang sahih, selari dengan pegangan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Sekiranya ada keraguan atau kekeliruan, jangan segan untuk rujuk kepada pihak berkuasa agama seperti Mufti, Jabatan Agama Islan Pahanag (JAIP) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP). Jangan pula rujuk ustaz ustazah Facebook dan Tiktok.

“Tidak cukup dengan itu (masalah ajaran sesat), mutakhir ini kita sering disajikan dengan pelbagai kepincangan dalam masyarakat seperti kes pembunuhan tragik, jenayah seksual, isu najis dadah, buli siber dan penyalahgunaan kuasa rasuah yang tiada kesudahan.

“Ini menunjukkan betapa parahnya penyakit sosial akhir zaman. Saya harap masjid mampu menjadi ejen kesejahteraan dan kesedaran kesihatan yang berpanjangan. Buka ruang dan peluang untuk masyarakat rasa selesa dan disenangi apabila datang ke masjid ini,” titah Paduka Baginda.

Turut berangkat Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baca juga: