Oleh: Kamilia Ali
PUTRAJAYA: Daftar Pemilih Tambahan Bulan Julai 2024 (DPT BLN7/2024) yang telah diperaku dan diwartakan hari ini telah dibuka untuk semakan selama 30 hari bermula 21 Ogos sehingga 19 September 2024.
Menurut Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak, DPT BLN7/2024 ini mengandungi 38,952 nama warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Julai 2024 hingga 31 Julai 2024 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.
“SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Julai 2024 hingga 31 Julai 2024 dan mana mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka.
“Manakala, 8,165 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 3,730 orang pemilih bertukar status atau kategori pengundi.
“Sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN7/2024, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Indera Ikmalrudin menjelaskan bahawa mereka yang telah berdaftar dan membuat bantahan ke atas kemasukan nama dalam pertukaran bahagian pilihan raya perlu mengisi borang D.
“Sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my dan hubungi SPR di talian 03-8892 7218 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.
“Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my.
“Selain itu, mereka perlu mengemukakan borang kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN7/2024,” katanya lagi.
Baca juga: