SUKMA 2024: Hellmi tewaskan tuan rumah, sumbang pingat emas kelima Muaythai Sabah

Oleh: Wahida Ramlan

BINTULU: Hellmi Samsir berjaya menyumbangkan pingat kelima buat pasukan Muaythai Sabah selepas memenangi saingan kategori kombat lelaki (67-71 kg) pada perlawanan terakhir Muaythai Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, semalam.

Anak jati Bugis dari Tawau, Sabah itu menutup gelanggang perlawanan Muaythai SUKMA dengan aksi penuh bergaya selepas menumbangkan peserta tuan rumah Azhad Haziq Syafaat Abdul Khalid yang meraih pingat perak.

Katanya, pingat emas yang dirangkulnya berjaya menebus segala penat lelah yang dihadapi ketika menjalani sesi latihan yang mengambil tempoh bertahun lamanya.

“Selama ini jurulatih bawa saya berlatih di beberapa tempat dan saya terpaksa meninggalkan keluarga di kampung halaman.

Barisan kontinjen Muaythai Sabah

“Kadang-kadang dua atau tiga bulan saya tidak dapat melihat muka ibu dan ayah,” katanya kepada pihak media selepas majlis penyampaian pingat kepada para pemenang di Naim Paragon Streetmall, Sarawak.

Manakala, satu lagi aksi semalam melibatkan atlet Sarawak, Muhammad Mikail Ghazali yang juga merupakan adik kepada ‘Jojo’ meraih pingat emas aksi final Muay Thai lelaki 51-54kg.

Dengan kemenangan itu, Sarawak berada di kedudukan pertama dalam sukan Muaythai SUKMA 2024 selepas mengutip lima pingat emas, empat perak dan satu gangsa.

Manakala, Sabah berada di kedudukan kedua setelah membawa pulang lima pingat emas, tiga pingat perak dan dua pingat gangsa.