Tiada sepatah perkataan pun ucapan hina Raja, Muhyiddin serah dokumen kepada polis

Oleh: Farah Faizal

PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan dakwaan beliau menghina institusi raja di negara ini tidak benar sama sekali dan berniat jahat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata keterangannya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini diiringi dengan dokumen surat dan akuan berkanun (SD) sebagai menyokong penjelasannya itu.

“Tidak ada sepatah perkataan pun dalam ucapan saya yang menghina Raja atau mempertikai keputusan Yang Di-Pertuan Agong pada masa itu.

“Namun begitu, terdapat pihak yang telah memutarbelit ucapan saya termasuk menyunting video ucapan saya dengan niat untuk memfitnah kononnya saya telah menghina Kebawah Duli Yang Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah dan menghasut rakyat supaya membenci Raja.

“Saya hanya menyatakan fakta mengenai 115 Akuan Berkanun Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15,” katanya dalam kenyataan kepada media pada Rabu.

Susulan itu, Muhyiddin berkata beliau telah menyerahkan beberapa dokumen kepada polis berhubung ucapannya semasa kempen pilihan raya kecil Nenggiri.

Ianya termasuk Akuan Berkanun daripada 115 Ahli Parlimen yang memberikan kepercayaan kepada beliau untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selepas pilihanraya umum ke-15 (PRU15).

Presiden Bersatu itu menerusi satu kenyataan berkata, beliau telah menyerahkan dua pucuk surat daripada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat kedua-duanya bertarikh 20 November 2022 yang mengandungi titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16 meminta mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang lain untuk menjadi Perdana Menteri menghantar Akuan-Akuan Berkanun kepada Istana Negara selewat-lewatnya pada 21 November 2022 sebelum pukul 2 petang.

Beliau turut mengemukakan sebanyak 114 Akuan Berkanun Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang telah diserahkan kepada Istana Negara pada 21 November 2022, pukul 1.28 petang, sebelum tempoh asal ditetapkan tamat dan satu lagi Akuan Berkanun yang diserahkan kepada Istana Negara pada 22 November 2022.

Muhyiddin turut mengemukakan surat Akuan Penerimaan Akuan Berkanun daripada Setiausaha Sulit Kanan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16, Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim bertarikh 21 November 2022 yang mengesahkan bahawa beliau telah menerima dokumen-dokumen tersebut.

“Dengan penjelasan saya kepada pihak polis beserta dokumen-dokumen yang saya serahkan kepada mereka, saya berharap pihak polis akan menjalankan siasatan dengan telus, adil dan saksama menurut lunas undang-undang.

“Sebagai seorang rakyat biasa, saya bernaung di bawah kebesaran dan kemuliaan Raja-Raja Melayu dan tat setia saya kepada institusi Raja Berperlembagaan jangan dipersoalkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, kira-kira sejam ahli parlimen Pagoh itu memberi keterangan kepada polis di pejabatnya di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida)