Acara silat SUKMA 2024 tanpa penonton

KUCHING: Tiada penyokong dibenarkan masuk bagi menonton acara silat Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 yang berbaki lagi dua hari.

Ia susulan insiden balingan botol ke dalam kawasan gelanggang ketika acara sedang rancak berlangsung.

Majlis Sukan Negara (MSN) berkata keputusan tersebut dibuat oleh Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) dalam mesyuarat tergempar sukan pencak silat yang diadakan tadi.

“PESAKA Malaysia memutuskan tiada penyokong dibenarkan masuk ke venue sehingga tamat kejohanan pada 23 Ogos ini.

“Hanya kontinjen, petugas dan tetamu yang mempunyai kad akreditasi sahaja dibenarkan masuk. Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan menambah anggota di lokasi pertandingan,” katanya.

Mengulas lanjut, MSN berkata baki perlawanan hari ini akan ditangguhkan dan bersambung semula pada Jumaat pukul 8.30 pagi dengan jadual perlawanan dikeluarkan kemudian.

“Manakala perlawanan di antara pasukan tuan rumah dan Wilayah Persekutuan bagi kategori Puteri Bawah 45 kilogram (kg) telah dibatalkan dan kemenangan berpihak kepada Wilayah Persekutuan,” ujarnya.

Tambahnya, pihak PESAKA Malaysia juga akan melakukan siasatan selepas Mesyuarat EXCO yang akan diadakan selepas SUKMA XXI Sarawak 2024.

Terdahulu, satu insiden kekecohan telah berlaku ketika pertempuran di antara wakil Sarawak, Iman Syakilla Mahdi dan peserta Wilayah Persekutuan, Nurin Alyaa Damia Mohd Masran bagi acara suku akhir kategori Bawah 45kg di mana penonton dilihat membaling botol ke dalam gelanggang.

Susulan itu jawatankuasa penganjur telah menghentikan perlawanan di kedua-dua arena satu dan dua bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku