Oleh: Hanim Nadia
KUALA LUMPUR: Menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor pada September depan, Wanita UMNO menuntut supaya calon kekal daripada pergerakan itu.
Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, ia bagi meneruskan legasi penyandang sebelum ini iaitu Allahyarhamah Datuk Seri Sharifah Azizah Syed Zain yang juga Exco Wanita.
“Kita bekerja siang dan malam, sekarang Mahkota dulu Nenggiri. Tangan kanan ajak bersalam, jangan pisau tangan kiri. Kita memang mahukan kemenangan di DUN Mahkota
“Jadinya kita menuntut agar kerusi DUN Mahkota diberikan kepada calon wanita.
“Justeru, saya harap wakil-wakil Majlis Kerja Tertinggi (MKT) membawa hasrat daripada Perhimpunan Wanita UMNO pada petang ini supaya calon di DUN Mahkota tetap daripada wanita,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Khamis.
Jelasnya lagi, keupayaan wanita terbukti apabila menang di ketiga-tiga DUN yang diwakili calon pergerakan itu pada PRN berkenaan, termasuk di DUN Pulai Sebatang dan Tenang.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini.
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah pada 2 Ogos lalu.