Fadhlina terharu, kongsi kisah ‘bangsa bawal’

Oleh: Wahida Ramlan

SHAH ALAM: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meluahkan rasa terharunya selepas dihadiahkan tudung bawal oleh pelajar di Sekolah Kebangsaan Subang Kerian 3 ketika menghadiri Program Pidato 3 Minit di sekolah berkenaan, baru-baru ini.

Fadhlina berkongsi kisah itu menerusi satu hantaran di Facebook miliknya hari ini, di mana beliau berasa terkejut ketika bersalaman bersama pelajar-pelajar dan tangannya dihulurkan dengan sebuah kotak oleh seorang pelajar.

“Pelajar itu memberikan saya tudung bawal. Lalu beliau berkata, tudung bawal ini untuk YB. Mak saya hadiahkan. Mak saya kata YB suka tudung bawal. Saya terus memeluk erat anak ini.

“Begitulah kasih sayang yang saya sering terima setiap kali turun ke lapangan. Entah berapa banyak tudung bawal dikirimkan kepada saya atas tanda kasih sayang.

“Anak siapalah yang sopan santun ini, ibunya pula baik hati mengirimkan tudung bawal kepada saya sedang kami tidak pernah bertemu atau kenal antara satu sama lain. Terima kasih Puan dan anakandanya!” katanya.

Tambah Fadhlina, beliau tampak lebih bersemangat untuk terus bekerja keras apabila diberikan kasih sayang yang mendalam oleh rakyat Malaysia ketika turun di lapangan melakukan tugasannya.