Kadar inflasi negara kekal paras dua peratus setakat Julai

Oleh: Kamilia Ali

KUALA LUMPUR: Kadar inflasi Malaysia kekal pada paras dua peratus setakat Julai 2024 berdasarkan ukuran Indeks Harga Pengguna (IHP).

Meskipun, sebanyak 133.1 mata indeks bagi bulan tersebut meningkat berbanding 130.5 mata berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

Menurut kenyataan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), restoran dan perkhidmatan penginapan, penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan antara yang mendorong peningkatan tersebut.

“Manakala, kumpulan makanan dan minuman merekodkan peningkatan lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya.

“Inflasi teras turut mencatat sedikit peningkatan, namun kekal pada 1.9 peratus, kadar sama direkodkan bagi Jun 2024.

“Kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional pada dua peratus,” jelas DOSM menerusi satu kenyataan.

Tambahnya, empat negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang, Sarawak, Pahang dan Selangor.

“Perbandingan dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia lebih rendah berbanding Vietnam, Filipina, Korea Selatan dan Indonesia namun, lebih tinggi berbanding Thailand dan China,” katanya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat