KUSKOP bantu mudahkan usahawan PKS kembangkan perusahaan

Oleh: Kamilia Ali

RANTAU: Usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan akan terus dibantu oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi mengembangkan perusahaan mereka hingga ke pasaran antarabangsa.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, bantuan tersebut termasuk sokongan berterusan kepada syarikat peneraju industri air mineral beroksigen di Malaysia, Bubbles O2, agar terus berkembang dengan jayanya.

“Bubbles O2 adalah salah satu syarikat yang telah menerima pelbagai bentuk bantuan daripada agensi di bawah KUSKOP seperti SME Corp. Malaysia, SME Bank dan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas).

“Betapa pentingnya syarikat-syarikat tempatan terus menyumbang kepada ekonomi negara seterusnya menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Sokongan ini termasuklah pembiayaan, geran dan program pembangunan bertujuan membantu syarikat ini mengembangkan perniagaannya di dalam dan luar negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Ewon berkata, tahun ini Pernas telah melabur sebanyak RM5 juta bagi pembelian mesin dan perbelanjaan operasi untuk syarikat Bubbles O2.

“Saya yakin pembukaan Pusat Pengilangan Baharu ini akan membantu Bubbles O2 terus mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa akan dating,” ujarnya.

Dalam masa sama, syarikat berkenaan berjaya menembusi pasaran luar negara seperti Brunei, Indonesia, Dubai, dan Amerika Utara serta merancang meluaskan pasaran ke Eropah dan ASEAN.

Beliau menjelaskan bahawa kerajaan secara khususnya KUSKOP akan terus komited untuk mewujudkan pelbagai inisiatif agar pembangunan usahawan dapat terus diperkukuh seterusnya membentuk Malaysia MADANI yang maju dan sejahtera.