Oleh: Hanim Nadia
KUALA LUMPUR: Ahli-ahli UMNO khususnya sayap Pergerakan Pemuda parti itu digesa untuk menguasai media sosial dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Ketua Pemudanya, Dr Akmal Saleh mengakui kegagalan menguasai platform tersebut antara punca UMNO mengalami kekalahan dalam beberapa siri pilihan raya termasuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan PRU15.
“Kegagalan kita untuk mendominasi ‘medan perang digital’ iaitu platform media sosial boleh menghadirkan igauan yang sama pada PRU16 mahupun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti.
“Hari ini, platform media sosial terutamanya Instagram dan TikTok sudah menjadi kitab untuk rakyat tahu perihal negara. Pincangnya langkah kita di situ, maka hilanglah kita ditanam fitnah.
“Saya juga bangga melihat komen di media sosial, bila melihat ahli Pemuda tanpa jemu dan lelah melawan fitnah. Pemuda UMNO di akar umbi bukan dibayar sebagai ‘cybertrooper’ (laskar siber), tapi mereka berperang untuk jelaskan apa yang betul, apa yang salah.
“Sebab itulah Pemuda UMNO wajib mendominasi platform media sosial,” katanya menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO pada perhimpunan agung sayap itu di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Khamis.
Tegasnya, penguasaan media sosial bukan sahaja akan membolehkan fitnah ditangkis, bahkan rakyat dapat melihat sendiri usaha, kesungguhan dan pendekatan pemimpin UMNO di semua peringkat dalam memperjuangkan hak yang seterusnya menjadi wakil membawa suara rakyat.
Tambahnya, mendepani PRU16 serta penyertaan UMNO dalam siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan PRN akan datang, sayap parti itu tidak lagi wajar dianggap sebagai budak motor dan tukang pacak bendera.
“Perang akan datang ini bukan untuk kita beri ceramah saja, tapi perang kita sekarang adalah perang alaf baru. Bagaimana nak troll, konsep ‘hashtag’ #fyp iaitu viral di Tik Tok.
“Pemuda bukan lagi kerjanya ambil duit, bawa motor dan pacak bendera. Kerana pemuda hari ini bukan mat motor, pacak bendera,” tegasnya.