Piala FA: Waktu operasi LRT Bukit Jalil dilanjut hingga 1 pagi

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Sempena perlawanan akhir Piala FA Malaysia 2024, waktu operasi Stesen LRT Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga pukul 1 pagi.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam satu kenyataan berkata, ini bagi memudahkan perjalanan pulang para penyokong yang menggunakan perkhidmatan awam dari Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Tren tambahan akan disediakan selepas tamat perlawanan untuk memastikan kelancaran pergerakan penumpang.

“Stesen-stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa, bagaimanapun para penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan.

“Semua stesen pertukaran rel turut dilanjutkan waktu operasi bagi membolehkan penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi akhir,” menurut kenyataan itu.

Perlawanan bola sepak akhir itu akan menyaksikan pertembungan di antara pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC yang dijadualkan berlangsung padapukul 9 malam, Sabtu.

Bagi memastikan perjalanan lancar, Rapid Rail juga menyarankan penumpang menggunakan kad Touch ‘n Go atau membeli token untuk perjalanan pergi dan balik.

Justeru, para penumpang turut diingatkan untuk memanfaatkan fasiliti parkir Park N’ Ride yang terdapat di stesen terpilih.

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk media sosial Rapid KL dan aplikasi PULSE bagi mendapatkan informasi terkini mengenai status perkhidmatan.