Oleh: Syahira Harish
SHAH ALAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pemberian dana awal sebanyak RM50 juta bagi program Celik Kewangan Belia Madani.
Perdana Menteri berkata, sebanyak RM50 akan dikreditkan ke dalam akaun pelajar universiti termasuk institut pengajian vokasional.
“Sasaran Celik Kewangan Belia MADANI adalah 200,000 pelajar setahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), pada Selasa.
Jelasnya lagi, program ini dibiayai dengan sumbangan bersama RM50 juta setahun dengan sasaran pendaftaran 200,000 pelajar setahun selama lima tahun yang dibahagi sama-rata dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB), syarikat korporat dan kerajaan.
Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) akan bekerjasama dengan universiti dan penaja korporat untuk mendaftarkan pelajar sebagai pelabur ASNB dan menjalankan aktiviti celik kewangan secara berterusan.
“Inisiatif ini dibangunkan untuk meningkatkan celik kewangan dalam kalangan pelajar dengan objektif menggalakkan pelajar untuk mula melabur,” katanya.