Wira-wira Olimpik Paris 2024 terima hadiah kereta bernilai RM123,800

Oleh: Wahida Ramlan

PUCHONG: Atlet-atlet Malaysia yang berjaya membawa pulang pingat gangsa pada sukan Olimpik Paris 2024 dihadiahkan sebuah kereta CHERY TIGGO 7 PRO sebagai penghormatan di atas persembahan cemerlang mereka di Sukan Olimpik Paris baru-baru ini.

Bintang atlet badminton negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, yang bertanding dalam acara Beregu Lelaki, serta Lee Zi Jia, yang bertanding dalam acara Perseorangan Lelaki, masing-masing dihadiahkan sebuah kereta SUV mewah berteknologi tinggi CHERY TIGGO 7 PRO.

“Kami berasa amat bangga atas kemenangan Aaron, Wooi Yik dan Zi Jia. Kami ingin menghadiahkan setiap seorang dengan CHERY TIGGO 7 PRO yang baru bernilai RM123,800 atas pencapaian luar biasa mereka di Sukan Olimpik Paris.

“Kecekalan, ketabahan, dan kegigihan mereka sepanjang Sukan Olimpik benar-benar member inspirasi, dan kami berbangga untuk meraikan kejayaan mereka dengan kenderaan yang mencerminkan sifat-sifat ini,” kata Naib Presiden Chery Malaysia, Michael Chew.

Turut hadir di majlis penyampaian kereta itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang turut mengucapkan terima kasih kepada Chery Malaysia di atas penajaan dan kepercayaan terhadap atlet negara yang bertanding di Paris.

“Kami percaya bahawa sukan adalah alat penyatuan bagi Malaysia. Kami menggalakkan sektor swasta untuk memainkan peranan mereka dalam memberi ganjaran kepada atlet apabila mereka berjaya membawa pulang pingat,” kata Hannah.

Sementara itu, atlet perseorangan profesional negara, Lee Zi Jia tidak dapat menghadiri majlis tersebut ekoran menyertai Kejohanan Terbuka Jepun di Kanagawa.