Oleh: Kamilia Ali
BATU TIGA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor, Danial Al-Rashid Haron akan menyediakan tayangan skrin besar bagi perlawanan akhir Piala FA antara Selangor FC dan Johor Darul Takzim (JDT) untuk mereka yang tidak berpeluang ke Stadium Bukit Jalil, pada Sabtu untuk menyaksikannya.
Danial yang juga ADUN Batu Tiga berkata demikian menerusi laman Facebooknya, menurutnya tayangan skrin besar untuk siaran langsung perlawanan akhir Piala FA tersebut bertempat di Restoran Haji Basheer, Pinggiran USJ, Subang Jaya.
“Jom ramai-ramai memeriahkan malam penuh debaran untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala FA 2024 antara Selangor dan JDT!
“Acara ini dianjurkan oleh Pejabat Pusat Khidmat DUN Batu Tiga bersama Danial Al Rashid, serta dihadiri oleh tetamu jemputan khas, Lagenda Bola Sepak Selangor, Azman Adnan dan Bunyamin Omar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjemput orang ramai untuk hadir menyaksikan perlawanan epik tersebut dan bertemu dengan lagenda bola sepak tanah air.
Pada 21 Ogos lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa menasihati orang ramai untuk menjaga tatasusila dan tidak melakukan perkara yang boleh mendatangkan provokasi melampau ketika atau selepas perlawanan akhir bola sepak Piala FA pada Sabtu ini.
“Orang ramai juga dinasihati tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan sekitar laluan masuk dan keluar stadium.
“Tindakan saman dan tunda akan diambil kepada kenderaan yang menghalang lalu lintas,” katanya ketika sidang media pada Rabu.
Justeru itu, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap penyokong dan penonton perlawanan yang melanggar arahan yang ditetapkan mengikut peruntukan yang ada.