Oleh: Shafira Aziz
IPOH: Seorang wanita warga emas meninggal dunia semalam selepas enam hari berada di hospital akibat kemalangan minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata mangsa yang berusia 78 tahun ketika itu sedang menunggang basikal kemudiannya terbabas sendiri di Jalan Persiaran Wira Jaya Barat 16 dekat sini.
“Pada 16 Ogos lalu, basikal yang ditunggang mangsa terbabas sendiri dan mangsa cedera pada bahagian kepala.
“Orang awam yang menemui mangsa telah membawanya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan lanjut namun mangsa meninggal dunia selepas enam hari menerima rawatan di situ,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Abang Zainal turut memaklumkan kematian tersebut diklasifikasikan sebagai mati lewat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau juga meminta sekiranya ada saksi kemalangan tersebut untuk menghubungi pegawai penyiasat kes di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh untuk membantu siasatan di talian 013-6713177.
Dalam pada itu, pihak polis turut menasihati orang awam khususnya pengguna jalan raya untuk mematuhi secara berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas.
Ia adalah untuk menjamin keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain dan mengelakkan kemalangan tidak diingini daripada berlaku