JAKARTA: Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia memutuskan untuk tidak meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pilihan Raya Daerah (Pilkada).
Ia susulan tunjuk perasaan besar-besaran di pelbagai tempat, termasuk di hadapan bangunan DPR dekat sini.
Proses menyemak semula RUU berkenaan telah mencetuskan kemarahan orang ramai kerana ia dikeluarkan sehari selepas Mahkamah Perlembagaan (MK) membuat keputusan untuk menghalang amalan politik dinasti (politik dalam kalangan keluarga).
Asalnya, semakan RUU Pilkada akan diluluskan dalam persidangan pada pagi Khamis namun dibatalkan kerana kehadiran ahli sidang yang tidak memuaskan.
DPR kemudian menyatakan bahawa keputusan MK akan dijadikan rujukan dalam pencalonan pilihan raya serantau kerana semakan RUU Pilkada serantau mustahil untuk diadakan sebelum pendaftaran calon untuk ketua serantau.
Timbalan Speaker DPR, Sufmi Dasco Ahmad berkata semakan terhadap RUU Pilkada tidak diratifikasi pada 22 Ogos.
“Disebabkan itu, proses yang akan berlaku semasa pendaftaran pada 27 Ogos adalah berdasarkan keputusan Mahkamah Perlembagaan (JR MK) yang dikemukakan oleh Parti Buruh dan Parti Gelora.
“Ini bermakna, keputusan Mahkamah Perlembagaan yang diminta oleh Parti Buruh dan Parti Gelora akan mempengaruhi apa yang berlaku semasa pendaftaran pada 27 Ogos kerana tiada perubahan atau semakan RUU Pilkada yang disahkan sebelum itu,” katanya, lapor Kompas.com.
Beliau yang juga ahli politik Parti Gerindra memaklumkan persidangan hanya boleh dilakukan pada hari Selasa dan Khamis.
Namun, disebabkan demonstrasi yang berlaku di luar DPR, persidangan tersebut tidak dapat diteruskan.
Bagaimanapun, Dasco berkata, pembatalan pindaan RUU Pilkada hanya berpunca daripada kehadiran ahli sidang yang tidak memuaskan hingga gagal memenuhi kuota yang sepatutnya.
Beliau menolak tanggapan bahawa mesyuarat gagal diadakan kerana peningkatan protes kerana penunjuk perasaan masih belum ramai di hadapan bangunan DPR ketika itu.
“Saya membatalkan persidangan tersebut kerana kuota ahli sidang yang tidak mencukupi. Bukan kerana ada demonstrasi yang berlaku di hadapan DPR,” ujarnya.
Beliau memaklumkan bahawa hanya 89 ahli majlis yang menghadiri persidangan tersebut dan ramai memilih untuk tidak menghadiri mesyuarat itu kerana memenuhi permintaan para pengundi