Jangan beri amanah kepada individu terpalit rasuah – Sultan Nazrin

Oleh: Hanim Nadia

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menyeru agar amanah atau tanggungjawab tidak diberikan kepada individu yang terpalit rasuah dan salah guna kuasa.

Baginda menyeru masyarakat Islam supaya menolak golongan yang berimej mungkar, munafik, lemah moral, rendah akhlak serta sebarang perlakuan yang boleh mencemarkan nama baik umat.

Sultan Nazrin bertitah, kehebatan Islam hendaklah diserlahkan melalui budaya kerja, melalui kegiatan sosial, pencapaian ekonomi dan etika berpolitik.

“Imej Islam dan gambaran masyarakat dunia terhadap Islam dipengaruhi tahap pencapaian dan status kejayaan umat Islam. Islam akan lebih dihormati dan Islam akan terus dimuliakan, jika majoriti penganut Islam memperlihatkan prestasi pencapaian yang cemerlang dalam pelbagai bidang.

“Oleh itu usaha dan program pembangunan insan sewajarnya diberikan fokus. Jika keagungan Islam mahu dijulang, jika martabat bangsa mahu didarjatkan, usaha untuk memperkaya generasi muda dengan ilmu wajib diberikan tumpuan melalui persepakatan gerakan yang tersusun lagi strategik, diselaraskan, diintegrasikan dan digabungkan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) ke-72 di Hotel Mandarian Oriental, Kuala Lumpur pada Jumaat yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Baginda yang juga Pengerusi MKI bertitah, kegemilangan Islam pada satu masa dahulu meninggalkan legasi dan idealisme tinggi, namun kemajuan sesuatu bangsa tidak boleh bergantung pada legasi dan idealisme semata-mata.

Anda Mungkin Berminat