Oleh: Wahida Ramlan
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warganegara asing dipercayai mengekori dan mengganggu pemandu wanita ditahan di kawasan Stulang Baru dekat sini semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Raub Selamat lelaki berusia 35 tahun itu dikesan dalam satu rakaman video tular di media sosial baru-baru ini.
“Hasil semakan rekod jenayah suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian mengekori dan mengganggu pemandu wanita tersebut menunjukkan individu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Namun, hasil saringan ujian air kencing yang dilakukan ke atas suspek mendapati suspek positif dadah jenis Metaphetamine.
“Semakan lanjut ke atas dokumen pengenalan diri, mendapati suspek sudah menetap di Malaysia melebihi masa.
“Ketika ini, suspek telah dibenarkan tahanan reman selama 14 hari bermula 23 Ogos 2024 (hari ini) sehingga 5 September 2024 untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman jika disabit kesalahan denda tidak kurang RM10,000 atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali .
Kes turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman jika disabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun.
Pada 21 Ogos, Pihak polis telah menerima satu aduan mengenai satu rakaman video yang sedang tular di media sosial berkenaan seorang wanita lingkungan 28 tahun sedang diekori seorang lelaki warga asing ketika sedang memandu kenderaan.