PAU 2024: Lima Dasar Utama Sebagai Pedoman UMNO

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggariskan lima agenda utama sebagai strategi untuk menentukan haluan parti.

Lima agenda yang beliau nyatakan ialah pengislahan generasi masa hadapan, pemberdayaan wanita, anak muda pemangkin pertumbuhan, pemantapan tranformasi ekonomi bumiputera dan politik digital.

Ujarnya, UMNO perlu menggariskan agenda-agenda besar perjuangan untuk masa depan kerana membangunkan kapasiti anak bangsa amat penting demi kelangsungan sebuah perjuangan.

“Saya pasti di hadapan saya, baik yang berada di pekan, bandar mahupun desa, ingin melihat UMNO kembali gemilang. Justeru, kita mesti bersama-sama menggarap usaha ini.

“Kita tidak boleh bergantung kepada tuah semata-mata. Yang bulat tak akan datang bergolek, yang pipih tak akan datang melayang.

“Setiap dari kita mestilah memiliki jiwa islah. Jiwa yang sentiasa berusaha untuk mencipta perubahan dan menakluki pemikiran masa hadapan. Kenal pasti ruang untuk menambah kreativiti, aspirasi dan anjakan dalam setiap perancangan mulai hari ini,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Jumaat.

Dalam pada itu, Presiden UMNO yang juga Timbalan Pedana Menteri itu bersama kepimpinan tertinggi UMNO serta para perwakilan yang hadir melaungkan ‘Hidup UMNO’ sebaik selesai ucapan Dasar Presiden.