Penguat kuasa KPDN ‘panglima perang’, selamatkan ketirisan dalam negara – PM

Oleh: Farah Faizal

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai dan menekankan pentingnya setiap anggota penguat kuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang memiliki nilai murni dan disiplin yang tinggi dalam menjalankan tugas.

Terdahulu, Anwar menyampaikan amanat di hadapan barisan penguat kuasa KPDN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Menurut beliau, jika aspek tersebut dapat diperkuatkan, matlamat untuk meningkatkan martabat negara memerangi segala bentuk ketirisan dapat dicapai.

“Amanat ini saya mulakan dengan menzahirkan penghargaan tertinggi buat penguat kuasa KPDN yang juga panglima perang di peringkat akar umbi yang menggalas tanggungjawab berat menyelamatkan ketirisan dalam negara.

“Banyak dasar negara seperti subsidi barangan serta usaha kerajaan mengawal harga barangan dapat dilaksanakan dengan baik kerana komitmen serta kesungguhan mereka, meskipun berterusan berdepan kritikan oleh pihak-pihak yang tidak pernah turun ke lapangan dan memahami risiko dihadapi penguat kuasa KPDN.

“Umpamanya harga ayam yang tidak melonjak tatkala kerajaan mengambil tindakan berani melaksanakan pengapungan harga ayam ketimbang membiarkan kartel mengaut keuntungan, selain inflasi kekal terkawal pasca penyasaran subsidi diesel,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.

Pada majlis sama, Anwar juga tidak menafikan bahawa masih terdapat kelemahan terkait tatakelola dan integriti yang perlu diperbaiki.

Oleh itu, beliau menggesa setiap warga KPDN menunjukkan contoh terbaik dan mengembalikan imej serta maruah pasukan itu.

“Semoga segala tekad kerajaan untuk mengatasi masalah kos sara hidup rakyat dapat dilaksanakan sebaik mungkin, khususnya dengan peranan, tekad dan keupayaan penguat kuasa KPDN,” katanya.

Di akhir majlis, Anwar dan pimpinan tertinggi KPDN telah melancarkan Portal Ihsan MADANI.

Katanya, langkah mewujudkan portal berkenaan merupakan inisiatif kerajaan dalam menangani kos sara hidup dengan meningkatkan akses rakyat terhadap bantuan yang diberikan.