Penyumbang dana program diplomasi Orang Utan layak dapat pelepasan cukai


PETALING JAYA: Organisasi dan individu yang menyumbang dana kepada Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) untuk program Diplomasi Orang Utan layak mendapat pelepasan cukai.

Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud berkata, pelepasan cukai termasuk daripada penggiat-penggiat utama industri sawit Malaysia dibuat mengikut Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau berkata, dana yang disumbangkan itu akan dimanfaatkan untuk melaksanakan pelbagai program bagi memelihara dan memulihara Orang utan menggunakan pendekatan in-situ.

“Antaranya bekerjasama menubuhkan pasukan renjer yang terdiri daripada pakar untuk memantau keberadaan, keselamatan dan keadaan haiwan terancam itu.

“Dana juga boleh digunakan untuk aktiviti penanaman pokok hutan dan buah-buahan yang menjadi sumber makanan Orang utan,” katanya.

Mengulas lanjut, Hairulazim berkata, pemuliharaan Orang utan Borneo secara in-situ merupakan idea MPOGCF hasil daripada perbincangan dan perkongsian pandangan bersama pakar-pakar pemuliharaan termasuk pemain-pemain industri sawit Malaysia.

Pendekatan in-situ merujuk kepada aktiviti pemuliharaan di habitat semula jadi, sama ada di hutan ataupun tompok hutan di ladang sawit yang dikenali sebagai kawasan High Conservation Value (HCV).

Menerusi kaedah ini, Orang utan bebas untuk bergerak, mencari sumber makanan dan membiak tanpa sebarang gangguan daripada manusia dan aktiviti-aktiviti perladangan.

“Usaha ini membuktikan komitmen tinggi dan murni kerajaan menerusi MPOGCF dan pemain-pemain industri sawit dalam memulihara biodiversiti khususnya dalam landskap perladangan kelapa sawit,’’ katanya.