‘Sang Saka Bangsa’ dinaikkan, bermulanya PAU 2024

Oleh: Syahirah

PAU 2024 | Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 dimulakan pada pagi Jumaat dengan upacara menaikkan bendera ‘Sang Saka Bangsa’ di Dataran Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada pukul 8.15 pagi tadi.

Upacara menaikkan bendera keramat parti itu berlangsung dengan dimulakan oleh lagu Wanita, seterusnya Pergerakan Pemuda dan diikuti Pergerakan Puteri UMNO yang dilakukan oleh ketua masing-masing menaikkan bendera.

Nyanyian lagu parti ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ disusuli menaikkan bendera oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan kehadiran semua kepimpinan parti.

Turut bersama dalam acara itu Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajid Dusuki.

Untuk info, PAU 2024 telah berlangsung sejak 21 Ogos lalu dan menghimpunkan para perwakilan dari 191 bahagian di seluruh negara melalui Perasmian Perhimpunan Agung UMNO.

Upacara menaikkan bendera ‘Sang Saka Bangsa’ ini akan disusuli dengan Ucapan Dasar Presiden seterusnya perbahasan para perwakilan sehingga 24 Ogos ini.