Siput sedut, manfaat atau mudarat?

Oleh: Hanim Nadia

HANYA bersiaran langsung di TikTok menunjukkan siput sedut berlumba, seorang lelaki dikenali sebagai @tansri_ash meraih lebih 20,000 tontonan satu malam.

Aktiviti luar biasa Muhammad Aswat Azdha Idris, 29, itu mendapat perhatian kerana dianggap unik serta menghiburkan.

Lebih menghiburkan, setiap siput yang menyertai perlumbaan itu diberi gelaran nama berserta nama negeri di Malaysia.

Dalam erti kata mudah, siput berkenaan sedang mewakili setiap negeri, negeri manakah yang paling laju.

Ada Acap daripada Kedah, Ila dari Pahang, Fateh dari Penang, Danial Selangor, Ariff Sarawak dan banyak lagi.

Walaupun kedengaran agak pelik, aktiviti ini telah mendapat perhatian ramai sehinggakan Ash tidak jemu membuat live.

Susulan itu, aktiviti tersebut juga mendapat perhatian persatuan Public Health Malaysia (PHM) yang berkongsi manfaat dan mudarat siput sedut yang sentiasa menjadi lauk hidangan.

Menurut perkongsian di laman X, siput sedut adalah sumber protein yang baik dan mengandungi mineral penting seperti kalsium, magnesium dan zat besi.

“Ini menjadikannya bermanfaat untuk membina dan memperbaiki tisu badan, serta menyokong kesihatan tulang dan imuniti,” katanya.

Namun, menurut PHM, jika tidak dimasak dengan betul, siput sedut boleh membawa parasit dan bakteria berbahaya yang boleh menyebabkan penyakit serius.

“Siput yang hidup di perairan tercemar boleh mengandungi logam berat yang membahayakan kesihatan.

“Untuk mendapatkan manfaat penuh siput sedut, pastikan pastikan proses memasak yang sempurna dan memastikan sumber siput dari perairan yang bersih,” tulis kenyataan itu.