Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 3 akan dibayar mulai 29 Ogos depan

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Kerajaan mengumumkan Sumbangan Tunai Rahmah (Fasa 3) akan disalurkan mulai 29 Ogos depan kepada lebih 8 juta penerima.

Penerima sedia ada yang berdaftar dalam pangkalan data STR akan menerima bantuan tersebut ke dalam akaun bank masing-masing atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat.

Nilai bantuan yang akan diterima bermula daripada RM50 hingga RM650 mengikut kategori kelayakan masing-masing.

Status kelayakan STR turut akan dibuka untuk semakan mulai 29 Ogos depan di laman rasmi STR melalui pautan bantuantunai.hasil.gov.my.

Terdahulu melalui Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peningkatan peruntukan STR sebanyak RM2 bilion daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion.

Ia difahamkan akan memanfaatkan penerima yang meliputi hampir 60 peratus penduduk dewasa Malaysia.

“Penambahan peruntukan bagi STR 2024 adalah sejajar dengan pendekatan Kerajaan Madani untuk menumpukan sumber kewangan negara kepada rakyat yang memerlukan bantuan.

“Kerajaan telah mengambil pendekatan baharu dengan membuka pendaftaran STR 2024 untuk memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) pada Jumaat.

Dalam pada itu, MOF turut menyeru penerima STR untuk sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mendaparkan maklumat berkaitan STR.

MOF memaklumkan bahawa pihak mereka tidak membuat penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) dan mesej WhatsApp untuk meminta maklumat peribadi kepada individu.