Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Pihak pengurusan pusat membeli-belah IOI City Mall Putrajaya mengumumkan orang ramai kini boleh menunaikan Solat Jumaat di ruang surau baharu bermula pada 6 September.
Perkara itu diumumkan pihak pengurusan tersebut melalui akaun rasmi Instagram mereka pada Jumaat.
“Musalla ini terletak di Arah Timur, LG, berdekatan ‘East Court’, di belakang Poh Kong,” tulis kenyataan itu.
Daripada poster yang dikongsikan itu juga memaparkan logo Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang mana premis tersebut telah memperoleh kelulusan yang sah bagi membolehkan solat Jumaat diadakan.
Sebelum ini ruang surau yang baharu di dalam premis itu telah ditutup sementara bagi tujuan pengubahsuaian.
IOI City Mall Putrajaya merupakan pusat beli belah terbesar di Malaysia dengan keluasan meliputi 2.5 juta kaki persegi.
Semoga dengan adanya kemudahan surau sebegini di dalam premis ini, pengunjung beragama Islam dapat menunaikan tanggungjawab mereka dengan lebih mudah.