Tengku Puteri Afzan selamat diijabkabul dengan Pewaris Glomac

Oleh: Farah Faizal

KUANTAN: Istiadat pernikahan Diraja Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama FD Idzham FD Iskandar disambut dalam suasana meriah.

Pasangan sama cantik sama padan itu selamat diijabkabulkan dalam Majlis Istiadat Akad Nikah sekitar pukul 8 malam semalam di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz Kuantan, Pahang.

Ia menjadi detik terindah buat Tengku Puteri Afzan yang menyarung persalinan kurung putih indah rekaan pereka fesyen tersohor tanah air iaitu Datuk Rizalman Ibrahim.

FD Idzham yang juga pewaris syarikat pembinaan terkemuka, Glomac Berhad turut dilihat mengenakan busana Melayu dan bersamping putih sedondon kelihatan tenang sewaktu lafaz akad yang disempurnakan oleh Dr Asmadi.

Tengku Puteri Afzan menerima senaskah al-Quran sebagai mas kahwin.

Istiadat bersejarah itu disiarkan secara langsung melalui dua layar besar yang disediakan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan di Tasik Kotasas.

Kelihatan ayahanda dan ibunda serta Tengku Hassanal mengenakan persalinan rona kuning diraja, begitu juga adik-beradik lelaki kepada pengantin perempuan.

Turut berangkat adalah paduka kakanda danadinda, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana dan Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan.

Terdahulu, Pengelola Bijaya Diraja Utama Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, istiadat perkahwinan diraja itu akan berlangsung pada tiga hari iaitu 22, 23 dan 25 Ogos ini.

Difahamkan, Tengku Puteri Afzan, 23, merupakan kembar kepada Tengku Ahmad Ismail, hasil perkahwinan Al-Sultan Abdullah, 65, dan Tunku Azizah, 64.