Ulasan | Air mata pelajar sekolah makin deras menekan

Oleh: Dr Anuar Ahmad

Memang saya kecewa dengan prestasi pendidikan negara kita pada hari ini. Cukup kecewa. 

Faktanya jelas. Kemerosotan teruk PISA (Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa) 2022, laporan prestasi pendidikan yang tidak memberansangkan oleh Bank Dunia, semakin ramai guru yang bersara awal, PBD (pentaksiran bilik darjah) yang cacamarba, bilangan murid aliran sains yang merosot, beban tugas bukan pengajaran yang semakin menekan para guru dan berbagai lagi yang lain. Semua ini memang mengecewakan. 

Tetapi menatap wajah anak kecil bergenang air mata dan menangis kerana tertekan dengan amalan lama pendidikan kita jauh lebih mengecewakan saya. 

Mengapa sistem pendidikan negara kita masih tidak mahu berubah? Mengapa kita masih mahu amalkan pendidikan ibarat ‘mee segera?’ Semuanya nak cepat-cepat selesai? Mengapa silibus terlalu banyak untuk sekolah rendah? Mengapa begitu padat? Mengapa perlu seragam standardnya? 

Mengapa kita masih tidak mahu terima hakikat bahawa setiap anak memang berbeza keupayaan dan kebolehan mereka? Setiap anak tidak sama. Mereka insan, anugerah Allah swt, bukan robot. 

Anak-anak boleh merangkak, bertatih dan berjalan pun tak sama tempohnya. Apatah lagi potensi minda dan kognitif mereka. Tentulah ada beza upayanya. Tugas pendidikan ialah membimbing anak-anak mengikut keupayaan dan kecenderungan mereka. Bukan diseragamkan, semuanya mesti capai pada waktu yang sama. Mengapa amalkan pendidikan yang langgar fitrah insan? 

Mengapa kita masih menganggap pendidikan sekolah rendah untuk bersaing? Ibarat satu pertandingan? Terkinja-kinja nak tahu siapa murid pandai dan siapa pula yang kononnya ‘bodoh’? 

Air mata anak kecil ini adalah satu bukti jelas bahawa sistem pendidikan negara kita terlalu taksub dengan pemikiran kapitalis era revolusi industri. Pendidikan yang hanya mahu segera menghasilkan pekerja yang seragam. Kita mahu kekal amalkan pendidikan ibarat sebuah kilang. Hati dan perasaan anak-anak kecil tidak penting. Yang penting angka pencapaian. Yang penting KPI (petunjuk pretasi utama). Yang penting, sekolah mesti labelkan siapa murid yang pandai dan siapa pula yang bodoh!! Mana kita campak falsafah pendidikan yang mahu setiap potensi anak dibangunkan secara berterusan? 

Percayalah, bukan hanya seorang anak yang sedang tertekan, menangis begini. Saya yakin, ada puluhan ribu anak-anak yang lain. Mungkin ratusan ribu. Hinggakan ramai yang sudah hilang motivasi dan minat untuk terus belajar. Bayangkan 11 tahun persekolahan, anak-anak tertekan emosi mereka semata-mata ‘kejahilan’ orang dewasa melaksanakan pendidikan. 

Pun begitu, mengapa kita masih boleh rasa selesa untuk terus kekal dalam persekitaran pendidikan yang lama dan karut ini? Takut, bodoh dan sombong sangatkah kita untuk melakukan perubahan demi kebaikan anak-anak kita?

**Penulis adalah Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara