Oleh: Syahirah Harish
KUALA LUMPUR: UMNO tidak akan teragak-agak untuk menamatkan kerjasama politik dengan mana-mana parti jika martabat Islam dan perjuangan agenda Melayu cuba digugat.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan kekal dengan pendirian yang sama meskipun menjalikan kerjasama politik dengan parti lain.
“Selain perkongsian kuasa, Barisan Nasional (BN) adalah parti yang membawa suara sederhana yang menyatukan parti-parti politik berhaluan kanan dan kiri.
“Penyatuan inilah yang menjamin keindukan Islam dan Melayu terpelihara tanpa meminggirkan hak dan suara kaum-kaum lain.
“Ditakdirkan, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kita kecundang. Model perkongsian kuasa BN cuba dilaksanakan oleh pentadbiran kerajaan pada ketika itu, tetapi tidak bertahan lama yang akhirnya menyaksikan kita melalui lima tahun dalam keadaan ketidakstabilan,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Terdahulu, Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2024 telah disempurnakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut dihadiri Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan perwakilan seluruh negara.