Datuk Bandar KL yakin ‘hot spot’ banjir kilat mampu ditangani

KUALA LUMPUR: Selepas banjir kilat yang melanda beberapa tempat di ibu negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenal pasti 14 lagi kawasan hot spot dan akan mengambil langkah segera termasuk mempercepat projek mitigasi bagi mengatasi isu berkenaan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, pihaknya yakin dapat menangani dan mengurangkan impak bencana berkenaan menerusi langkah sama yang dijalankan di 25 lokasi hot spot sebelum ini.

Antara kawasan yang baharu dikenal pasti itu ialah Jalan Syed Putra, Jalan Peel, Jalan Dutamas dan Jalan Pahang, Jalan Maharajalela, Jalan Raja Chulan, Jalan Genting Kelang (Utar dan Shell), Lorong Titiwangsa 11, Jalan Pahang Barat dan Jalan Tun Razak.

Semalam, media melaporkan tujuh lokasi sekitar ibu negara dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak petang melibatkan Segambut Bypass, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Pahang, Jalan Genting-Klang dan Jalan Dutamas, Jalan Kepong dan Jalan Kuching

Maimunah yang baru dilantik memegang jawatan itu Khamis lepas berkata pihaknya juga akan mempergiat kerja penyelenggaraan kolam takungan banjir (Onsite Stormwater Detention – OSD), penyelenggaraan sungai dan parit induk secara berjadual terutama apabila musim monsun timur laut semakin menghampiri sebagai langkah pencegahan.

Beliau berkata kerja pengorekan kelodak ke atas semua kolam takungan banjir dilakukan mengikut keperluan semasa dan juga mengikut jadual berkala yang ditetapkan selain manaik taraf saliran longkang di tepi jalan.

Maimunah berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) itu juga akan memperkasakan kerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran menerusi pasukan petugas sedia ada dalam memastikan sungai terutama yang kerap berlaku banjir diberi perhatian dan mampu menampung limpahan air.

Maimunah berkata pihaknya juga bercadang menetapkan syarat bagi pemaju projek baharu untuk menggunakan Manual Saliran Mesra Alam 2.0 (MSMA 2.0 ) dan sistem saliran bandar yang mampan seperti Sistem Saliran Bio-Ekologi (BIOECODS).

PBT itu juga akan memastikan kesiapsiagaan anggota penguat kuasa DBKL di lapangan selain pemantauan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang ditempatkan di sekitar ibu kota bagi memastikan tindakan diambil segera selain mampu mengurangkan impak kesesakan lalu lintas.