Oleh: Farah Faizal
IPOH: Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) beri bantuan kepada 19 mangsa yang terperangkap di tapak perkhemahan Eco Park Risda, Kampung Ulu Slim dalam kejadian kepala air pada Jumaat.
Risda hari ini dalam satu kenyataan memaklumkan, keperluan asas seperti makanan, minuman dan alat komunikasi telah pun dihantar ke lokasi dengan bantuan pihak berkuasa sejak Jumaat malam.
“Petugas bagi menyelaras keadaan turut ditempatkan bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil,” menurut kenyataan itu.
Setakat ini, mangsa kejadian berada dalam keadaan selamat dan ditempatkan di tempat penginapan yang terletak di lokasi selamat dan jauh daripada kawasan yang terjejas.
Difahamkan, pihak Bomba dan agensi lain kini sedang memantau situasi semasa keadaan sungai dan menunggu keadaan air pulih untuk masuk ke tapak tersebut bagi mengeluarkan mangsa yang terjejas.
Terdahulu, dilaporkan sekurang-kurangnya 109 individu terperangkap akibat kejadian kepala air dan empangan pecah di Slim Village, Slim River pada Jumaat.
Kejadian dipercayai berpunca daripada empangan pecah berhampiran Stesen Janakuasa Hidro Sungai Slim pada petang Jumaat yang turut menjejaskan beberapa kampung di sekitar kawasan Kampung Sungai Bil, Slim River.