Oleh: Farah Faizal
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mengambil pendekatan secara hibrid menerusi kerjasama dengan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat kerana terdapat 35 peratus daripada 66,000 pengundi di Mahkota terdiri daripada kaum Cina.
“Jadi, kita menyantuni semua parti di dalam komponen Kerajaan Perpaduan untuk memobilisasikan jentera yang ada.
“Untuk itu, ada segmen tertentu yang kita akan berikan kepada DAP dan ada segmen yang lain kita berikan kepada MCA,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Sabtu.
Sementara itu, beliau berkata, pendekatan yang sama akan dilaksanakan bagi mendekati pengundi India.
“Terdapat lebih 8,000 pengundi India yang ini kita minta MIC untuk menggerakkan jentera bersama-sama dengan kepimpinan dan ahli dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya.