Norza letak jawatan Presiden BAM

(KEMASKINI) PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pada Sabtu mengambil keputusan untuk meletak jawatan daripada badan induk itu.

Perkara itu diumumkan pada majlis penyerahan ganjaran RM125,000 kepada beregu lelaki nombor satu negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Petaling Jaya.

Susulan itu, Datuk V Subramaniam, bakal bertindak sebagai pemangku presiden buat ketika ini.

Beliau memegang jawatan tersebut sejak tahun 2017.

Pada Disember lalu, Norza, 58 mengumumkan hasrat melepaskan jawatannya malah menamakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz sebagai pengganti.

Sebelum ini, netizen kecoh mengenai kehadiran ahli keluarga Norza yang menonton Sukan Olimpik di Paris. Ramai yang mempertikaikan perkara tersebut dan mengaitkannya dengan tiada kuota kepada jurulatih pemain perseorangan profesional negara, Goh Jin Wei yang terpaksa ke Paris tanpa jurulatihnya.

Susulan itu, Norza memaklumkan kehadiran ahli keluarganya tidak dibiayai dana kerajaan sebaliknya menggunakan dana sendiri.