Polis Cheras: Bukan penculik tetapi jemput tunang

Oleh: Farah Faizal

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan gambar tular yang tersebar di aplikasi Whatsapp menunjukkan sebuah kereta Nissan Almera di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Permaisuri, dekat sini tidak berniat jahat atau menculik.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Ravindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada pengadu yang juga pemandu kenderaan berkenaan pada pukul 6.22 petang Khamis.

“Pengadu memaklumkan bahawa tujuan beliau selalu berada di kawasan tersebut hanya untuk menjemput tunangnya yang berniaga di hadapan sekolah dan menafikan tuduhan niat untuk menculik pelajar sekolah.

“Pengadu juga telah berjumpa dan menjelaskan perkara sebenar dengan pihak pengurusan sekolah,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, pihak Polis Cheras menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan ketenteraman awam.

“Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian jenayah, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” katanya.