SAR temui sepasang selipar dipercayai milik wanita jerlus di Masjid India

KUALA LUMPUR: Hanya sepasang selipar ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga asing yang tertimbus dalam kejadian tanah jerlus Jalan Masjid India, di sini, semalam.

Operasi SAR berkenaan terpaksa dihentikan sekitar jam 1 pagi, susulan hujan lebat serta kawasan pencarian yang gelap menyukarkan usaha mengesan mangsa dilakukan pasukan penyelamat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata operasi SAR oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dijadualkan bersambung semula jam 9 pagi ini.

Katanya, pencarian di lokasi mangsa dilaporkan terjatuh juga telah dilakukan secara 100 peratus.

“Semua anggota pasukan penyelamat telah mengambil masa yang panjang dalam operasi SAR yang bermula sejak pagi semalam (Jumaat), dan setakat ini mangsa masih gagal dikesan.

“Namun dalam operasi hari ini kita telah menemui sepasang selipar dipercayai milik mangsa yang terapung selepas kawasan kejadian dikorek oleh jengkaut sejak pagi tadi (semalam).

“Pelbagai cabaran dihadapi oleh pasukan penyelamat yang terbabit dalam operasi SAR ini seperti arus deras, selain terdapat gas pada air dalam saluran kumbahan yang boleh membahayakan pasukan Unit Skuba JBPM,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian tengah malam tadi.

Rusdi berkata, beliau turut menyarankan supaya orang ramai dan masyarakat yang berada di sekitar kawasan Masjid India untuk mengurangkan pergerakan sebagai langkah keselamatan.

“Walaupun kawasan ini disahkan selamat, saya minta orang ramai kurangkan pergerakan anda dan mengambil langkah selamat.

“Kita turut mengarahkan polis memperketatkan kawalan di sini supaya dan meminta mana-mana pihak supaya tidak mengambil mudah tentang langkah berjaga-jaga,” katanya.