Terlalu banyak laungan UMDAP oleh ‘walaun’ – Nurul Zahid

Oleh: Farah Faizal

PAU2024 | Exco Wanita UMNO Malaysia, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid mengingatkan seluruh ahli UMNO untuk setia dan ikhlas dalam memperjuangkan nasib bangsa, agama dan rakyat Malaysia.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk berkata, segala macam peruntukan diberikan untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat serta jutaan ahli UMNO mendapat pelbagai manfaat. 

Menurutnya, ahli dan akar umbi UMNO memerlukan rakan dari kalangan dan kelompok yang setia untuk meneruskan perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air.

“Bukan kita tidak pernah ‘go solo’ di zaman kepimpinan ‘bossku’. Apa yang ‘bossku’ tidak pernah beri? Segala macam peruntukan diberikan untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat serta jutaan ahli UMNO mendapat pelbagai manafaat. 

“Bukan kita tidak pernah cuba bersama ‘membangun bersama pimpinan Islam’. Dewan Merdeka inilah yang menyaksikan satu ikatan Penyatuan Ummah termeteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perbahasan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 mewakili Wanita UMNO.

“Menyaksikan sendiri lelah, sakit dan segalanya yang ditanggung oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menjadikan UMNO kekal sebagai parti politik yang releven menjadikan ia penguat semangat, untuk kita semua sebagai pelapis didalam UMNO,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar para pemimpin parti mengambil pengajaran dari segala drama politik yang telah berlaku dan mengimplementasikannya di dalam Kerajaan Perpaduan

“Saya berharap kita mengambil pengajaran daripada perhubungan politik kita dengan PAS. Terlalu banyak laungan UMDAP, zikir UMDAP oleh walaun-walaun di luar sana,” ujarnya.