Usah lupa empayar hebat Rom runtuh kerana rasuah – PM

Oleh: Farah Faizal

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti pelbagai kaedah untuk mempermudah urusan perniagaan, permodalan, tenaga mahir dan perkongsian teknologi dengan negara jiran, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut menggesa sektor korporat menggunakan kesempatan tatkala Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun depan untuk menonjolkan gabungan ini sebagai tarikan pelaburan dan perdagangan global.

“Keputusan Kerajaan untuk menyertai BRICS juga membolehkan Malaysia meneroka pasaran baharu serta meningkatkan peluang pelaburan dan perdagangan, khususnya terkait sektor minyak sawit, getah dan elektronik.

“Saya ulangi komitmen Kerajaan untuk mengotakan janji reformasi meskipun perlu melaksanakan langkah sukar dan tidak popular, demi memastikan kedudukan fiskal yang lebih baik, mengurangkan defisit serta menjamin kemampanan negara berkekalan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Selain itu, Anwar juga memberi jaminan perkhidmatan awam yang lebih cekap, tegas dan telus, selain mengurangkan insiden kecurangan dan rasuah dalam kalangan penjawat awam, sekali gus mewujudkan ekosistem yang lebih baik untuk kumpulan perniagaan.

Tegas beliau, ini adalah masanya sektor swasta bekerjasama dengan Kerajaan untuk mengangkat darjat dan martabat rakyat dan generasi masa depan, serta memastikan setiap rakyat di negara ini dapat menikmati kehidupan yang bermaruah.

“Justeru, saya ambil kesempatan menggesa sektor korporat untuk bersama-sama Kerajaan dalam usaha melawan rasuah yang merosakkan etika, nilai, budaya dan masyarakat, selain menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

“Jangan sesekali kita lupakan kisah tragis empayar hebat Rom yang runtuh akibat rasuah,” katanya.

Terdahulu, Anwar hadir dalam majlis The Edge Billion Ringgit Club 2024 untuk bersama meraikan pemain-pemain dunia korporat yang mencatat kejayaan membanggakan dan menyumbang kepada kerancakan pembangunan ekonomi.