Sze Fei-Izuddin Akhiri Kemarau 22 Tahun Negara, Muncul Juara Terbuka Jepun

PASANGAN beregu badminton negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mencipta kejutan selepas muncul juara pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun Super 750.

Sze Fei-Izzuddin yang juga merupakan wakil tunggal Malaysia di pusingan final Terbuka Jepun menewaskan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae menerusi kemenangan straight set 21-19, 21-15.

Memetik laporan Stadium Astro, set pertama menyaksikan pasangan nombor 12 dunia itu saling menguji kemampuan juara dunia itu, mengutip mata demi mata sehingga mereka terikat 18-18.

Sze Fei-Izzuddin akhirnya berjaya menemui ruang untuk mendahului 20-18 sebelum menang set pertama 21-19 dalam pertembungan yang melewati 21 minit berkenaan.

Kemenangan pada set pertama itu jelas meningkatkan moral pasangan beregu negara apabila langsung tidak memberikan peluang buat pemain lawan untuk melakukan serangan sebelum memastikan gelaran menjadi milik mereka menerusi kemenangan 21-15.

Kejayaan pertama Sze Fei-Izzuddin pada musim ini bertambah manis apabila membawa pulang ASD62,900 (RM275,226) dengan ia wang kemenangan terbesar mereka setakat ini.

Difahamkan, ia adalah kemenangan pertama mereka dalam tempoh hampir setahun selepas kali terakhir meraih gelaran pada kejohanan Abu Dhabi Masters yang berlangsung Oktober tahun lalu.

Dalam pada itu, ia juga merupakan kemenangan pertama pasangan tersebut selepas mereka mengesahkan akan bergerak sebagai pemain profesional mulai 1 September ini apabila memutuskan untuk meninggalkan Persatuan badminton Malaysia (BAM) baru-baru ini.

Anda Mungkin Berminat