PENYANYI, komposer lagu dan penulis lirik, Amir Jahari, kini kembali dengan album terbaharunya yang dinanti-nantikan berjudul, Kembali.
Hasil perjalanan Amir atau nama sebenarnya Mohamad Amirullah Jahari selama 13 tahun dalam industri seni muzik Malaysia, album itu meneroka pelbagai genre dengan sentuhan pop-rock-folk dengan pengaruh nusantara yang turut mengangkat tema kemanusiaan serta kerohanian.
Album Kembali memuatkan sejumlah 15 lagu iaitu 12 lagu baru serta tiga lagu rakaman semula, iaitu Hasrat yang menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-27 dengan susunan yang diolah khas untuk malam bersejarah itu.
“Sampai Ke Bulan” pula ditulis oleh Amir Jahari sepenuhnya untuk album 2013 Faizul Sany, serta single pertamanya “Tanpamu” yang diberi nafas baru bersama penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak iaitu Nana Sheme.
Kembali juga mendapat sentuhan magis beberapa orang produser serta pemuzik tanah air termasuk AG Coco (Hujan) dan sekali gus membuat satu langkah yang baru dalam karier nyanyian Amir.
“Kembali akan menjadi satu titik permulaan yang baru untuk saya dan pasukan untuk melangkah lebih ke hadapan di dalam industri muzik,” ujar Amir.
Bukan itu sahaja, album tersebut merupakan album yang telah dipendam lama tentang hidup untuk memberi dan kembali kepada asal usul, dalam masa yang sama, single terbaru yang berjudul “Kenangan” telah pun dikeluarkan pada 31 Mei 2024 di semua platform penstriman, manakala, muzik video rasmi akan dikeluarkan tidak lama lagi.
Untuk info, Amir berasal dari Kuching, Sarawak memulakan kerjaya muziknya dengan album sulung “Penghibur Jalanan” pada tahun 2013.
Album “Kembali” merupakan hasil sepenuhnya tulisan Amir sendiri yang dilihat sebagai pencapaian membanggakan untuk anak muda yang berumur 21 tahun ketika itu.
Ia mendapat empat pencalonan Anugerah Industri Muzik ke-20 pada tahun 2014 dalam kategori Kulit Album Terbaik, Susunan Muzik Terbaik di Dalam Lagu, Rakaman Album Terbaik dan Video Muzik Terbaik. — Arena Muzik