BANDAR SERI BEGAWAN: Malaysia dan Brunei mempunyai tekad sama bagi menyelesaikan isu hubungan dua hala yang telah lama tertunggak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menggunakan peluang itu bagi menilai kemajuan kerjasama dua hala melalui pertemuan empat mata dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman.
“… sekali gus mampu mengangkat hubungan di antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih akrab lagi di masa hadapan.
“Kesempatan yang ada kira-kira sejam ini juga digunakan untuk bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau demi berkepentingan bersama selain isu antarabangsa seperti hak rakyat Palestin dan Gaza yang perlu terus diperjuangkan untuk bebas merdeka dari cengkaman dan penindasan rejim Zionis Israel,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.
Pertemuan itu dilakukan dalam Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 pada Isnin.
Turut hadir ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.