Monopoli PUSPAKOM Berakhir – Loke

Oleh: Hanim Nadia

PUTRAJAYA: Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) tidak lagi menjadi badan tunggal yang menjalankan pemeriksaan berkala kenderaan motor di negara ini.

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menerusi menterinya, Anthony Loke Siew Fook menjelaskan, entiti yang ditubuhkan pada 1994 itu akan tamat perjanjian pada 31 Ogos ini dan tidak akan diperbaharui.

Susulan keputusan itu, kerajaan akan membenarkan pihak-pihak berkelayakan dan kompeten lain untuk memohon melaksanakan fungsi pemeriksaan kenderaan bermotor.

“Sebelum ini PUSPAKOM diberi hak eksklusif menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan motor, namun selepas ini mana-mana syarikat berkelayakan boleh menjalankan tugas serupa di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

“Bagaimanapun, di bawah mekanisme baharu ini, PUSPAKOM akan menjadi syarikat pertama diberi kuasa untuk menjalankan pemeriksaan ini, maknanya mereka meneruskan operasi sedia kala, cuma kali ini, mereka akan bersaing dengan syarikat lain, tiada lagi hak eksklusif,” katanya pada sidang media di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya pada Isnin.

Katanya, setakat ini, pihaknya menerima dua permohonan secara rasmi bagi mendapatkan lesen sebagai operator pemeriksaan kenderaan motor.

“Dalam libat urus yang kita buat sebelum ini, ada 50 syarikat menyatakan minat, namun kita sudah terima dua permohonan rasmi dan sebab itu kita membuka permohonan sehingga 31 Oktober ini.

“Kita mahu melihat berapa banyak syarikat yang mengemukakan permohonan, lagi awal mereka kemuka permohonan, lagi cepat kita buat penilaian dan mengeluarkan lesen,” katanya.

Menurut Loke, dengan berakhirnya konsesi itu, pemberian kuasa perkhidmatan sama, kini dibuka kepada mana-mana pihak berkelayakan yang bakal diluluskan, tertakluk di bawah Seksyen 126 (1) Akta 333.

“Setakat ini, sambutan daripada industri untuk menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor yang ditetapkan di bawah Akta 333 adalah sangat positif.

“Kementerian Pengangkutan akan menilai semua permohonan dan mengumumkan pemain-pemain baharu yang berjaya dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam masa sama, kerajaan menjemput mana-mana pihak yang berkelayakan dan kompeten untuk memohon pemberian kuasa bagi melaksana dan menyediakan perkhidmatan yang sama di negara ini.

“Garis permohonan pemberian kuasa akan lesen bagi tujuan tersebut masih boleh diperolehi dari laman web MOT atau JPJ.

“Tarikh tutup bagi mengemukakan permohonan adalah pada 31 Oktober 2024,” katanya.

Katanya lagi, JPJ akan terus mengawal selia dan memantau penyedia perkhidmatan serta pengoperasian pemeriksaan kenderaan motor supaya teratur, mematuhi standard serta peraturan yang telah ditetapkan.

Sebelum ini, perkara itu diputuskan Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023 yang mana tiada lagi monopoli PUSPAKOM sebagai penyedia pemeriksaan berkala kenderaan motor berkuat kuasa 1 September 2024

Anda Mungkin Berminat