Polis ‘Pukat’ Samseng Jalanan Guna Bas

Oleh: Hanim Nadia

JOHOR BAHRU: Sekumpulan samseng jalan raya yang melarikan diri daripada operasi khas, berjaya ditahan menggunakan dua buah bas di sekitar Jalan Skudai – Pantai Lido, Johor Bahru awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata, hasil operasi berkenaan, 286 individu bersama 257 buah kenderaan telah diperiksa.

“Daripada jumlah itu sebanyak 115 motosikal telah disita di bawah Seksyen 64, Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987 bagi pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, sebanyak 153 saman atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan termasuk tidak mempunyai lesen memandu, ubah suai struktur kenderaan dan pelbagai kesalahan lain.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga telah mengeluarkan saman 54 kompaun mengikut seksyen akta pengangkutan jalan 1987 atas pelbagai kesalahan.

Manakala Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan 46 saman kompaun dan 52 notis arah periksa terhadap individu yang menunggang motosikal yang mengeluarkan bunyi melebihi paras yang ditetapkan.

Jelasnya, operasi dua hari itu bermula jam 5 petang hingga 1 pagi membabitkan lebih 100 pegawai dan anggota penguatkuasa dari pelbagai agensi.

‘Kita juga menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 28 tahun ditahan kerana positif dadah jenis methamphetamine setelah menjalani ujian saringan air kencing. Kesalahan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM5,000 serta menjalani pengawasan polis selama dua tahun.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan dan lumba haram boleh menghubungi hotline IPD Johor Bahru Selatan (JBS) di talian 07-218 2222.