Polis tumpaskan sindiket dadah antarabangsa

Oleh: Farah Faizal

PULAU PINANG: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa selepas lima individu ditahan dalam tiga siri tangkapan berasingan di dua negeri iaitu Pulau Pinang dan Kedah minggu lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Komisioner Datuk Hamzah Ahmad berkata kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik itu merampas 30 bungkusan plastik warna keemasan bertulis Guanyinwang Refined Chinese Tea berisi ketulan dan serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu berjumlah 31,410 gram yang bernilai RM1,037,000.

Menurutnya, tangkapan telah dilakukan ke atas seorang lelaki warga tempatan dan empat lelaki warga asing berumur antara 23 hingga 40 tahun.

“Hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket ini bergiat aktif sejak Januari 2024 yang menjalankan pengedaran dadah jenis syabu untuk dihantar ke pasaran luar negara.

“Modus operansi sindiket ini adalah mengambil upah menghantar syabu dari pengedar-pengedar tempatan ke pasaran negara jiran melalui jalan laut.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 150,000 orang atau 150,000 kali penggunaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif sebarang jenis dadah dan tidak mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.

Tambahnya, polis turut menyita dua kenderaan dan sebuah motosikal bernilai RM26,500 dan wang tunai berjumlah RM4,000.

Mengulas lanjut, kelima-lima suspek direman selama tujuh hari bermula 21 Ogos sehingga 27 Ogos untuk siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Bebahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan hendaklah dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan rotan yang tidak kurang daripada 12 sebatan bagi pesalah yang disabitkan kesalahan,” katanya.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah atau jenayah narkotik boleh salurkan kepada Jabatan Siasatan Jenaya Narkotik PDRM di talian 012-2087222