Malaysia kekal patuhi piawaian antarabangsa FATF

Oleh: Farah Faizal

KUALA LUMPUR: Malaysia komited mematuhi piawaian antarabangsa yang ditetapkan Financial Action Task Force (FATF) dalam usaha memerangi pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, usaha kerajaan ini telah meminda Akta Syarikat 2016, yang telah berkuat kuasa sejak 1 April.

“Kerangka perundangan baharu ini memperkenalkan pelbagai perubahan bertujuan meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan syarikat, serta mempertingkatkan mekanisme kawal selia korporat.

“Ianya menandakan langkah signifikan dalam memperkukuh tatakelola korporat di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Armizan berkata, sehingga 31 Julai 2024, sebanyak 374,774 daripada 677,351 syarikat aktif yang tersenarai dalam daftar SSM telah mematuhi keperluan untuk menyerahkan maklumat pemilikan benefisial mereka.

“Ini menunjukkan kadar pematuhan sebanyak 55.3 peratus, yang merupakan langkah positif ke arah
mencapai matlamat ketelusan yang lebih tinggi dalam sektor korporat.

“Pencapaian ini menggambarkan komitmen yang semakin mendalam daripada sektor perniagaan untuk memenuhi piawaian ketelusan yang ditetapkan dan menyokong usaha-usaha reformasi yang dilaksanakan di bawah konsep Malaysia Madani,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat