Pekerja binaan kena ‘scam’ RM123,470 terpedaya sindiket pelaburan tidak wujud

Oleh: Farah Faizal

JOHOR BAHRU: Tawaran pulangan lebih 88 peratus dalam pelaburan saham membuatkan seorang pekerja pembinaan ‘hangus’ RM123,470 selepas tertipu dengan sindiket pelaburan tidak wujud baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa, lelaki berusia 36 tahun mendakwa dirinya telah terpedaya.

“Kejadian bermula 1 Ogos lalu apabila mangsa menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp yang menawarkannya menyertai skim pelaburan dengan memuat naik satu aplikasi ‘Bitbest’.

“Mangsa dijanjikan pulangan 88 peratus daripada nilai pelaburan menyebabkan mangsa tertarik untuk mencuba dan telah memuat naik aplikasi itu serta mendaftarkan diri dengan mengisi maklumat peribadi di dalam aplikasi berkenaan.

“Mangsa kemudian membuat sembilan kali transaksi bayaran ke dalam lima akaun bank berbeza antara 1 Ogos hingga 22 Ogos keseluruhannya berjumlah RM123,470.04,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Sohaimi berkata, dalam tempoh itu, mangsa cuba menuntut keuntungan yang dijanjikan, namun suspek memberikan pelbagai alasan dan mengarahkannya membuat bayaran tambahan membuatkan dia sedar yang dia telah ditipu.

Mengulas lanjut, mangsa kemudian membuat laporan polis pada Sabtu lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Siasatan juga akan meliputi pembabitan keldai akaun sekiranya ada dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terlibat,” katanya.

Justeru, polis menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai sebarang tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan yang mudah, cepat dan tinggi.