PENGASAS aplikasi mesej Telegram, Pavel Durov, ditahan di Perancis bagi siasatan terhadap jenayah termasuk pornografi kanak-kanak, pengedaran dadah dan transaksi penipuan di platform miliknya.
Menurut laporan Reuters, Presiden Perancis, Emmanuel Macron, mengesahkan penahanan Durov, yang dilakukan di Lapangan Terbang Le Bourget di luar Paris pada petang Sabtu.
“Penangkapan presiden Telegram di wilayah Perancis berlaku sebagai sebahagian daripada siasatan kehakiman yang sedang dijalankan.
“Ini sama sekali bukan keputusan politik. Terpulang kepada Hakim untuk membuat keputusan,” tulis Macron di X.
Macron menegaskan bahawa tidak ada motif politik dalam penahanan terbabit walaupun terdapat banyak komen palsu di dalam talian, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada siasatan jenayah.
Tambah beliau, Perancis tetap komited terhadap kebebasan bersuara yang sah.
Durov, seorang bilionair berusia 39 tahun yang turut digelar sebagai ‘Mark Zuckerberg dari Russia’ mempunyai dua kewarganegaraan Perancis dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).