Skuad Bola Sepak Palestin Tiba Di Malaysia

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Pasukan bola sepak Palestin telah tiba di Malaysia bagi bagi kem latihan pusat di Kuala Lumpur menjelang permulaan kempen Kumpulan B, Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Republik Korea dan Jordan.

Ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam Isnin disambut oleh Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali dan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman.

“Palestin akan turun menjalani latihan di Kuala Lumpur selama lima hari sebelum terbang ke Seoul bagi perlawanan pertama menentang Republik Korea di Stadium Piala Dunia Seoul pada 5 September.

“Mereka kemudian kembali ke Kuala Lumpur bagi menghadapi perlawanan kedua menentang Jordan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 10 September,” menurut kenyataan FAM.

Pasukan kendalian Makram Dabboub diundi dalam Kumpulan B bersama beberapa pasukan seperti Korea Selatan, Iraq, Jordan, Oman, Palestin dan Kuwait.

Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) telah memilih Malaysia bagi perlawanan bertemu Jordan.

Perbincangan antara FAM dan PFA mencapai kata sepakat dengan Datuk Haji Hamidin yang juga Ahli Majlis FIFA bersetuju untuk menawarkan venue neutral di Malaysia dan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur dipilih.

FAM menyifatkan ia satu penghormatan yang cukup besar buat Malaysia kerana menjadi satu-satunya negara yang diberikan kepercayaan oleh Palestin untuk menjadi gelanggang neutral buat pasukan kebangsaan mereka.

“FAM berasa bertuah kerana PFA memilih untuk mengadakan aksi pertama pasukan kebangsaan mereka di gelanggang sendiri dalam Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 di Malaysia.

“Pada masa sama, FAM akan memberikan sokongan dan bantuan sepenuhnya kepada PFA sepanjang pasukan kebangsaan Palestin berada di negara ini,” ujar FAM dalam satu kenyataan sebelum ini.

Anda Mungkin Berminat