Telefon bimbit Barbie X Nokia dijangka laku keras

Oleh: Syahirah Harish

ANDA peminat Barbie dan suka mengumpul segala barangan berwarna merah jambu itu?

Maka, ini adalah pilihan terkini buat anda dengan pembuat mainan Mattel bekerjasama dengan syarikat pengeluar telefon, Nokia melancakan telefon bimbit Barbie sempena sambutan ulang tahun Barbie ke-65, tahun ini.

Ia juga susulan kejayaan filem Barbie yang dibintangi Margot Robbie tahun lalu dengan kutipan pecah panggung global mencecah AS$1.4 bilion (kira-kira RM6.08 bilion).

Ketua penganalisis firma penyelidikan CCS Insight, Ben Wood berkata beliau percaya ramai peminat Barbie akan tergoda untuk membelinya demi keseronokan.

Peranti itu membolehkan pengguna membuat panggilan dan menghantar teks, tetapi tiada akses kepada aplikasi media sosial.

Menurut syarikat berkenaan, papan kekunci merah jambu Barbie mempunyai reka bentuk tersembunyi yang memaparkan pokok palma, hati dan flamingo yang lampunya boleh menyala dalam gelap.

Telefon yang mempunyai sentuhan retro itu berharga 99 pound sterling (kira-kira RM568), boleh didapati di pasaran mulai Rabu ini di semua cawangan Vodafone dan Argos di United Kingdom (UK).

CCS Insight menganggarkan bahawa HMD boleh menjual lebih 400,000 telefon Barbie itu.

Anda Mungkin Berminat