Lelaki rentung terperangkap di dapur rumah terbakar

Oleh: Kamilia Ali

KUALA KANGSAR: Seorang lelaki maut ditemui rentung di ruang dapur rumah yang terbakar di Jalan Kampong Baru Liman Kati, di sini pada Khamis.

Menurut Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Ahmad Izuwan Zakaria, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.10 pagi dan terus bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya kami di tempat kejadian, api sedang marak membakar keseluruhan rumah dan dianggarkan kemusnahan sehingga 90 peratus.

“Dalam masa yang sama, terdapat seorang lelaki berusia 36 tahun telah terperangkap di dalam rumah tersebut.

“Anggota bomba telah menemui mangsa dalam keadaan rentung di ruangan dapur rumah itu dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

Ahmad Izuan berkata, operasi pemadaman kebakaran telah melibatkan sejumlah 18 anggota bomba dengan menggunakan sumber air daripada tangki jentera dan pili bomba berhampiran.

“Operasi pemadaman kebakaran dijalankan sehingga api padam sepenuhnya dan operasi berjaya ditamatkan pada pukul 2.15 pagi,” katanya.

Difahamkan, Pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) daripada Kuala Kangsar serta BBP Lenggong yang membantu dalam operasi pemadaman tersebut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat